9 Julai 2011

'..Hidup Untuk Mati..'

Dalam menempuh ranjau kehidupan, memang menjadi lumrah jalan yang akan dilalui penuh dengan duri yang tajam dan menyakitkan jika terkena atau tersentuh. Namun, duri yang tumbuh melata itulah akan mendewasakan serta memberi pengajaran pada sesiapa sahaja yang melaluinya. Allah SWT telah menciptakan duri yang tajam dan beracun sebagai halangan dan ujian dalam perjalanan hambanya. Sebagai pencipta, Dia juga bersifat adil dengan mencipta pula penawar bagi merawat keperitan dan kesakitan akibat racun yang berbisa. Adil yang membawa pengertian saksama itu, seolah-olah tiada keseimbangan bagi mereka yang hidup untuk terus hidup. Mereka yang daripada golongan tersebut akan terus berjalan di dalam kegelapan hutan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kesengsaraan sebagai latar. Keperitan itulah yang akan mengikis dan membuang pengertian Adil dalam pemikiran mereka kerana bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan penawar yang menjadi bukti keadilan Maha Pencipta terhadap sekalian manusia yang menumpang di dunia pinjaman ini. Oleh itu, telah menjadi sesuatu yang sangat bermakna dan detik yang paling bahagia bagi mereka yang telah berjaya menemui penawar yang akan mengubati segala kesakitan yang telah meracuni jiwa, akal, dan pemikiran mereka selama ini. Dengan hanya berpandukan pada satu jalan, satu tujuan dan satu pegangan serta diiringi oleh kekuatan iman yang teguh sebagai panduan, akhirnya membawa mereka kepada satu jawapan yang memberi pengertian tentang kesempurnaan. Tiada lagi keperitan dan tiada lagi erti ketakutan pada duri beracun yang selama ini menjadi halangan untuk mereka berjalan dan terus berjalan dengan membawa satu niat iaitu '..Hidup Untuk Mati..'